Header Ads

  • Semasa

    Elak Jadi Bahan Ketawa


    Elak Jadi Bahan Ketawa | Babak pesakit yang menerima rawatan di hospital dalam beberapa drama sebelum ini pernah dipertikaikan masyarakat kerana dikatakan tidak mengikut prosedur sebenar.
    Malah lebih menjengkelkan, ada di antara alat bantuan rawatan diletakkan sewenang-wenangnya tanpa mengikut spesifikasi sehingga menjadi bahan ketawa penonton. Tidak mahu perkara itu berlarutan, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dengan kerjasama Creative Content Industry Guild (CCIG) dan Sukarelawan Perubatan Malaysia (SPM) mengambil inisiatif menganjurkan program Dialog Perubatan Di Dalam Filem Dan Drama 2017 yang berlangsung di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Hulu Klang, Khamis lalu.
    Program itu menampilkan Pakar Kecemasan dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Shahrul Nizam dan Pakar Psikologi Sukarelawan Perubatan Malaysia, Dr Izad. Ia turut dihadiri Ketua Pengarah FINAS Datuk Fauzi Ayob, Timbalan Ketua Pengarah FINAS Azmi Mutalib, Penasihat FINAS merangkap Pengerusi CCIG Datuk Jurey Latif dan Presiden Seniman Zed Zaidi.
    Zed berkata, Seniman mahu semua produksi serius menyisipkan babak di hospital dan bukannya sekadar melepaskan batok di tangga.

    Elak Jadi Bahan Ketawa

    “Untuk kefahaman yang lebih jelas, kami mendapatkan Dr Shahrul dan Dr Izad bagi membantu memberikan pencerahan yang betul kepada artis serta produksi terbabit apabila melakukan babak dalam hospital.
    “Alhamdulillah nampaknya respons yang diterima sangat positif apabila ramai yang hadir ke program julung kali diadakan ini untuk menimba ilmu. Bagi kami ini satu petanda dan permulaan yang baik. Mungkin sebelum ini produksi tiada tempat untuk merujuk dan program ini sedikit sebanyak membantu mereka untuk melakukan yang lebih baik selepas ini,” katanya.
    Dalam program sama, Seniman turut melancarkan insurans untuk artis yang bernaung di bawahnya.
    “Setakat ini kami mempunyai 6,000 ahli berdaftar dan mereka layak menerima pampasan sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini. Mereka yang melanjutkan yuran keahlian dan baru mendaftar sebagai ahli secara automatik akan menerima polisi ini.
    “Selagi mereka masih bergelar ahli Seniman, mereka akan dilindungi insurans ini dan banyak manfaat yang akan diperoleh,” katanya.
    Zed berkata, sekiranya berlaku kematian dan kecacatan kekal, waris atau artis itu akan menerima RM10,000, untuk perubatan RM1,000 dengan tuntutan selepas pembayaran, penculikan RM10,000 (jika tidak berjumpa akan dianggap meninggal dunia), pembedahan kosmetik akibat kemalangan RM1,000 dan khairat kematian RM2,000.

    Elak Jadi Bahan Ketawa

    “Kerjasama ini dijalin dengan syarikat KL Wealthlab Sdn Bhd. Saya amat berharap semua artis mengambil peluang keemasan ini. Selain dua isu ini, kami turut mengisi aktiviti program dengan mengadakan pemeriksaan kesihatan percuma daripada Sukarelawan Perubatan Malaysia, penerangan mengenai CCIG dan penerangan mengenai penjagaan kesihatan kaki oleh MEDIFeet.
    “Kami turut memberikan sumbangan wang tunai kepada 10 artis veteran dengan kerjasama Budi Group Sdn Bhd sebagai penaja. Mereka diwakili Pengarah Eksekutif dan Kewangan Datuk Mohd Irwan Wiji dan Pengarah Pemasaran dan Perhubungan Korporat Datuk Seri Amir Mohd Esa.
    “Selain itu sumbangan produk minuman kesihatan kepada mereka pula dihulurkan B Rich Marketing yang diserahkan oleh Pengarah Urusannya, Hasnizam Husin,” katanya.
    Sepuluh penerima itu, Ben Kanobie, Razali Buyong, Sahara Yaakob, S Rohani, Hamidah Urif, Baba Nizam, Acappan, Isma Alif, Mariyah Osman dan Mat Over.

    Tiada ulasan

    Post Top Ad

    Post Bottom Ad