Hadiah hari lahir paling istimewa | PORT DICKSON - Bahagia dalam memberi kebahagiaan kepada orang lain, itu yang dilalui oleh seorang pramugara, Yap Kah Ming, apabila dia menjemput anak yatim sebagai tetamu istimewa bersempena sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke 22 semalam di sebuah restoran makanan segera.

Pada majlis itu, Kah Ming menjemput seramai 40 anak yatim dari Yayasan Anak Yatim dan Piatu Islam Port Dickson, bersama 10 petugas yayasan dan penjaga.

Kah Ming seorang pemuda berdarah campuran Cina dan India berkata, bukan kelainan yang ingin dilakukan sebaliknya mahu melengkapkan hari istimewanya itu dengan cara membahagiakan ramai orang khususnya anak yatim.

Menurutnya, ini bukan kali pertama dia berbuat demikian tetapi telah dilakukan sejak dia berusia 18 tahun, iaitu ketika usia dia mula membina kerjaya sebagai pramugara di sebuah syarikat penerbangan terkemuka negara.

Ujarnya, karakternya yang suka dan cepat mesra dengan kanak-kanak membuka jalan kepada dirinya sendiri mencari pendekatan terbaik untuk sentiasa menggembirakan golongan itu, justeru timbul idea meraikan mereka dengan majlis makan bersama selain pelbagai lain diadakan.

"Untuk majlis sambutan hari lahir ni saya dah rancang sejak awal tahun lagi. Saya hantar permohonan untuk jemput adik-adik ini melalui emel yayasan dan menerima jawapan positif dari pihak pengurusan yayasan.

"Akhirnya majlis yang dirancang berjalan lancar. Saya gembira tengok semua adik-adik gembira menikmati hidangan dengan berselera. Ini adalah hadiah hari lahir untuk saya," katanya kepada Sinar Harian.

Hadiah hari lahir paling istimewa

Kah Ming berkata, dia juga memperuntukkan sejumlah khas dalam setiap gaji bulanan yang diterimanya untuk tujuan kebajikan.

"Saya dah lalui sendiri. Semakin banyak kita beri rezeki kita kepada orang lain, semakin luas dan murah rezeki yang Tuhan bagi kepada kita. Itu juga mendorong untuk saya tidak akan berhenti melakukan aktiviti amal seperti ini."

"Sebenarnya, saya bermula dengan hanya memberi peralatan menulis dan mewarna kepada lima anak yatim sahaja. Kemudiannya sedikit demi sedikit apabila rezeki saya semakin murah, saya mula belanjakan lebih banyak wang untuk lebih ramai anak yatim," katanya yang juga kerap mengunjungi rumah kebajikan untuk anak yatim berbangsa India dan Cina.

Pemuda berkulit hitam manis ini berkata, dia mendapat sokongan penuh daripada kedua ibu bapanya yang mengusahakan perniagaan pakaian dan sukan rekreasi di Pantai Telok Kemang.

"Mak dan ayah memang selalu bersama saya dalam melakukan aktiviti amal macam ni. Malah mereka jugalah yang jadikan saya untuk sentiasa bersemangat nak buat lagi dan lagi aktiviti amal macam ni."

"Apa yang saya buat tidak terbatas kepada satu-satu bangsa sahaja, malah saya nak dekati anak yatim dan  tak kira kaum dan agama. Sebenarnya cita-cita saya adalah satu hari nanti nak tubuhkan rumah kebajikan anak yatim," katanya.