Ketua pembuli akan digantung sekolah enam bulan | SUNGAI PETANI - Berkuat kuasa serta merta, pelajar yang didapati bersalah menjadi ketua pembuli akan dikenakan hukuman gantung sekolah selama enam bulan, kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Katanya, beliau menandatangani arahan itu semalam bagi membolehkan Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak sekolah menangani kes buli.

"Selepas melalui proses penyiasatan jawatankuasa displin dan didapati bersalah, ketua pembuli akan digantung sekolah enam bulan manakala ahlinya digantung sekolah dua bulan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan 'Dialog Bersama Menteri Pendidikan' di Universiti Aimst di sini, yang dihadiri kira-kira 1,700 guru dari seluruh Kedah. 
     
Mahdzir mengulas kes seorang pelajar Tingkatan 1 di sebuah sekolah di Kuala Lumpur yang cedera di kepala akibat dibuli dua pelajar senior.    

Ketua pembuli akan digantung sekolah enam bulan

Beliau berkata, sepanjang tempoh hukuman itu, pembuli akan mengikuti proses pemulihan termasuk dihantar ke sekolah pemulihan akhlak Henry Gurney dalam tempoh beberapa minggu.

"Ini bergantung kepada keputusan jawatankuasa displin," katanya sambil berharap jawatankuasa itu membuat siasatan teliti sebelum memutuskan hukuman.

Menurutnya bidang kuasa jawatankuasa itu hanya melibatkan kes buli di sekolah dan jika ia berkaitan jenayah, perkara itu akan terus dibawa kepada pihak polis.

Dalam pada itu, Mahdzir mengakui kekurangan sekolah di kawasan pertumbuhan ekonomi baharu seperti di Kota Samarahan, Sarawak; Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor dan Sungai Petani, Kedah.

"Kementerian sedang mengkaji dan melihat perkara ini kerana kita sedar kekurangan sekolah menyebabkan ada sekolah yang muridnya mencecah 3,000 orang," katanya.

Program Dialog Bersama Menteri Pendidikan merupakan antara aktiviti program Jelajah Pendidikan dan Penerangan Dasar-Dasar Utama Kementerian Pendidikan di seluruh negara, dengan Kedah menjadi lokasi pertama.

Ia bertujuan mendedahkan dan memberi penerangan mengenai dasar utama KPM kepada rakyat dan ibu bapa melalui pameran dan khidmat nasihat rundingan pendidikan.