Menghadam falsafah semut; Beza Semut dengan Manusia? Renungkanlah! | ‘BELAJAR dari alam dan haiwan, kita semakin mengenal Tuhan.’ Memerhati pergerakan dan perbuatan haiwan, terlalu banyak yang boleh kita pelajari dan aplikasikan dalam kehidupan.

Apa kata hari ini kita belajar mengenal semut. Anak-anak Ummi mungkin boleh memerhati perilaku semut ini sendiri. Jika tidak sempat untuk melakukannya, cuba baca kajian yang dilakukan oleh seorang profesor dari Britain ini.

Hari pertama, dia meletakkan segenggam nasi yang jaraknya tidak terlampau jauh dari sarang semut. Setelah menunggu hampir lima minit, tiba-tiba datang segerombolan semut menghampiri nasi tersebut.

Kemudian semut-semut itu mengangkat sebutir nasi satu persatu hingga nasi itu habis. Melihat peristiwa tersebut, Profesor itu merasa kagum dan mencatat hasil pemerhatiannya itu.

Hari kedua, profesor itu melakukan satu percubaan yang unik. Dia mencari sarang semut yang besar. Setelah menemuinya, profesor itu terus menghancurkan sarang semut tersebut. Kerana merasa sarangnya diganggu, semut pun berhamburan keluar dan naik di atas kasut dan masuk ke dalam seluar profesor itu. Dan semut pun mula balas dendam.

Menghadam falsafah semut; Beza Semut dengan Manusia? Renungkanlah!

Semut itu menggigit Profesor dengan penuh semangat. Tidak hanya satu, tapi beratus semut turut membantu. Semut-semut itu tidak peduli bahaya yang mengancam. Badan mereka boleh hancur dan remuk oleh tangan dan sepatu profesor. Tetapi semut-semut itu tidak gentar.

Menerusi pengamatannya selama dua hari, profesor itu mendapati banyak karakter positif semut miliki. Dan hebatnya, karakter yang seakan sudah menjadi falsafah hidup semut, juga boleh dijadikan pedoman. Falsafah itu sangat sederhana, tetapi jika kita menerapkannya dalam kehidupan, kita akan menjadi seorang yang luar biasa.

Jadi, mari kita teliti falsafah semut yang hebat satu persatu.

Semut selalu bekerjasama
Cuba kita perhatikan cara kerja semut. Bermula dari mengangkat sebutir nasi hingga memakannya. Mereka selalu bekerjasama. Sebutir nasi cukup berat bagi semut. Diangkat beramai-ramai ke tempat mereka, satu persatu diangkut sehinggalah mencukupi untuk mereka makan. Kemudian mereka akan memakannya bersama-sama.

Begitu juga jika habuan yang semut temui, bersaiz besar. Mereka akan merobeknya menjadi potongan-potongan kecil. Kemudian setiap seekor semut akan memikul satu cebisan.

Perhatikan antara satu cebisan dengan cebisan yang lain. Saiznya langsung tidak berbeza. Bermakna tiada semut yang tunjuk hebat mengusung bahagian yang besar, begitu juga sebaliknya.

Kerjasama dan kebersamaan semut boleh kita teladani. Misalnya, melakukan sesuatu kerja yang berat, apa salahnya kita saling bantu-membantu.

Berbahagi-bahagi tanggungjawab dengan sama rata. Hasilnya bukan hanya memberi kepuasan peribadi, tetapi ia akan menceriakan semua yang bersama-sama melakukannya.

Semut tak pernah menyerah apabila kita menghalang dan berusaha menghentikan langkah semut yang sedang berbaris berjalan, mereka selalu akan mencari jalan lain. Mereka akan memanjat ke atas, menerobos ke bawah atau mengelilinginya. Mereka terus mencari jalan keluar.

Satu falsafah yang sangat bagus, bukan? Semut tidak pernah menyerah terhadap halangan yang menghambatnya. Dan untuk kita... jangan sekali-kali menyerah kalah untuk mencari jalan menuju matlamat yang kita impikan.

Mempersiapkan bekalan
Ketika musim kemarau, semut mengumpul persediaan logistik dalam gudang yang dibina di dalam sarang mereka.

Bekalan makanan yang disediakan ini bukan sedikit. Malah jumlahnya cukup untuk ribuan semut dan anggota keluarga mereka. Ini untuk memastikan bekalan sudah sedia kerana pada musim hujan semut sukar untuk mencari makan di luar sarang.

Namun, koloni semut tetap keluar mencari makan walaupun perlu berjuang lebih keras melawan hujan pada musim tersebut.

Di dalam dunia semut, berlaku pembahagian tugas yang jelas dan tegas. Siapa yang bertugas merawat telur-telur, penjantan ditugaskan membuahi si Ratu dan setelah menyelesaikan tugasnya, biasanya semut penjantan itu terus mati.  

Semut pekerja bertanggungjawab mencari makanan untuk keperluan semua. Ada juga semut yang tugasnya menerima persediaan makanan yang dibawa oleh semut pekerja tadi dan menyimpannya di gudang simpanan makanan. Semut-semut itu jugalah bertugas menjaga bekalan makanan tersebut.

Setiap semut mengerjakan apa yang menjadi tugasnya. Tidak ada yang merasa letih, jemu, apalagi protes.

Jaguh merebut peluang
Anak-anak pernah dengar kan pepatah ‘Ada gula adalah semut’. Cuba anak-anak letakkan sedikit gula di lantai yang bersih tanpa kelihatan seekor semut pun dalam skala 100 meter. Tinggalkan lebih kurang setengah jam.

Kemudian lihat semula gula tersebut. Agaknya apa yang berlaku?

Pasti gula tersebut sudah dikelilingi semut. Ingat! Tadi tiada semut di situ, tapi sekarang sudah ada. Lihat... betapa cekapnya semut merebut peluang!

Saling hormat-menghormati
Bila bertemu dengan sahabatnya, semut saling menyapa sebagai bentuk penghormatan kepada yang lain.

Berapa kali anak-anak memberi salam kepada kawan-kawan ketika bertemu?

Sampai mana penghormatan anak-anak kepada saudara sendiri? Tidakkah kita lebih banyak menyakiti antara satu sama lain daripada berbuat baik?

Tidakkah kita lebih banyak memfitnah sesama manusia? Menghina kerana iri hati, dengki, dendan? Bila jawapannya ‘ya’, maka nampaknya kita gagal memahami surah an Naml (surah semut) yang memang memesan supaya kita mengambil hikmah daripada kehidupan semut yang begitu tinggi penghormatannya kepada sesama semut.

Jadi?

Bezakanlah sifat kita sebagai manusia dengan semut. Semoga kita dapat mengambil pelajaran daripada pengamatan kita terhadap serangga kecil ini. Semut tidak pernah berhenti berjuang, putus asa, kecewa, takut untuk selalu mencuba dan berusaha untuk terus berusaha mencapai tujuannya.

Sedang kita manusia, yang dikatakan makhluk terbaik dilengkapi akal fikiran malah sebaliknya. Bahkan ada yang bunuh diri kerana kecewa.

Sepatutnya kita harus lebih baik daripada semut yang kecil. Jangan kecewa jika gagal tetapi berusahlah dengan berbagai-bagai cara yang terbaik. Pasti dan pasti kita akan sampai pada tujuan iaitu kejayaan.

Wallahualam.