Pekerja yang diberhentikan, boleh buat aduan | MARAN - Para pekerja yang diberhentikan majikan tanpa notis boleh membuat aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) atau terus kepada Kementerian Sumber Manusia, jika majikan tidak membayar gaji atau ganti rugi kepada mereka.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata, majikan yang memberhentikan para pekerja tanpa notis dan tanpa membayar gaji serta faedah lain, boleh dikenakan tindakan tegas.

Menurutnya, majikan atau syarikat tidak boleh sesuka hati memberhentikan pekerja sebaliknya perlu memberikan notis awal bagi membolehkan pekerja membuat persediaan.

Pekerja yang diberhentikan, boleh buat aduan

Bagaimanapun katanya, jika majikan atau syarikat terbabit menanggung beban dan kerugian dalam perniagaan dan membabitkan pelbagai masalah yang sudah tidak boleh diatasi, maka majikan berhak memberhentikan pekerja tersebut dengan notis.

"Kesalahan memberhentikan kerja tanpa notis adalah serius di bawah akta pekerjaan. Kementerian tidak akan membiarkan pekerja yang diberhentikan menghadapi kesulitan sebaliknya akan terus memberikan pembelaan dan menjaga kebajikan mereka."

"Mana-mana pekerja yang diberhentikan akan diberi pelbagai latihan kemahiran yang disediakan supaya mereka dapat meneruskan kehidupan bagi menguruskan keluarga," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pertubuhan Ibu Tunggal Kebangsaan Parlimen Maran di sini, kelmarin.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Maran turut mengesa ibu-ibu tungal mengikuti latihan kemahiran yang disediakan agensi kerajaan.

Katanya, dengan ada latihan serta kemahiran ia memboleh ibu tunggal bekerja, berniaga sekaligus dapat meningkatkan pendapatan bagi perbelanjaan.

"Ramai ibu tunggal yang mendapat latihan dan kemahiran sudah boleh hidup sendiri dengan membuka pelbagai perniagaan. Sehingga setakat ini, golongan tersebut telah menerima perutukan sehingga RM400,000 meliputi pelbagai bantuan," katanya.