Pendaki sesat: Ada kaitan dengan mistik? | JIKA dibuat perbandingan antara lapan lokasi pendakian di Negeri Sembilan, Gunung Datuk mencatatkan paling banyak kes membabitkan pendaki sesat.

Pada 2004, sebanyak 12 kes sesat di Gunung Datuk, bagaimanapun berkurangan kepada 10 kes pada 2015 dan empat kes pada 2016.

Terdengar suara orang meminta tolong dan mengikut seseorang tidak dikenali merupakan antara sebab mangsa sesat di Gunung Datuk.

Selain itu, keliru dengan bunyi deruan air terjun serta burung didakwa salah satu sebab pendaki tersasar laluan.

Salah seorang pendaki yang hanya mahu dikenali sebagai Ismail, 40-an, berkata, dia sudah lebih lima tahun menjadi pendaki gunung berkenaan dan beberapa kali terbabit dalam operasi mencari mangsa sesat.

Menurutnya, kisah mistik kerap diceritakan mangsa yang sesat di gunung berkenaan kepada pasukan penyelamat.

Pendaki sesat: Ada kaitan dengan mistik?

"Setiap kali ada pendaki yang sesat, operasi menyelamat akan dilakukan membabitkan anggota bomba dan penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perhutanan dan penduduk setempat terdiri daripada jurupandu arah gunung berkenaan.

“Saya masih ingat kes membabitkan seorang lelaki. Mangsa kata dia terdengar bunyi suara lelaki meminta tolong dan terus mencari arah suara berkenaan.  Bila sedar-sedar sahaja dia sudah tersasar dari laluan sebenar dan sesat.

“Malah, ada juga yang tersesat kerana mencari bunyi deruan air terjun dan burung yang besar di sini," katanya.

Menurutnya, ada juga kes sesat membabitkan pendaki yang mengikut orang tidak dikenali sehingga orang itu hilang secara tiba-tiba.

“Malah, ada juga pendaki yang tidak sedar mengikut lorong-lorong kecil sedangkan Jabatan Perhutanan sudah pun membuat laluan arah sebenar.

“Mungkin mereka nampak macam laluan kerana terang tetapi laluan berkenaan hanya diketahui penduduk tempatan sahaja.  

“Jadi tak sesuai untuk mereka lalui laluan itu kerana berkemungkinan akan sesat," katanya.

Pendaki sesat: Ada kaitan dengan mistik?

Sehubungan itu, Ismail  nasihatkan pendaki agar tidak terpesona dengan bunyi-bunyian di situ dan ikut saja arah laluan sebenar yang telah disediakan Jabatan Perhutanan.

Malah, beliau turut menasihatkan pendaki terutama yang baru pertama kali mendaki secara berkumpulan dan setia bersama kumpulan sepanjang pendakian sehingga turun dari gunung.

"Pendaki juga perlu menjaga adab sebaik menjejak kaki ke Gunung Datuk dan laluan masuk ke gunung berkenaan," katanya.