DUNGUN - Seorang pemuda, Muhamad Zulkifli Ayub, 27, maut apabila motosikal ditunggang gagal mengelak sekumpulan kerbau yang sedang melintas jalan di kilometer 15.7 Jalan Tok Kah-Jerangau, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 petang, mangsa yang bekerja sebagai pemandu jentolak meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah dialami.

Sewaktu kejadian, mangsa yang berasal dari kampung Padang Jambu dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah selepas memancing bersama rakan-rakan di kampung Lentang.

Ketika tiba di tempat kejadian, sekumpulan kerbau dikatakan melintas jalan secara tiba-tiba menyebabkan mangsa gagal mengelak dan merempuh haiwan itu sebelum melanggar pembahagi jalan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacob ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Dungun untuk tujuan bedah siasat sebelum diserah kepada waris.
Sementara itu, rakan mangsa, Mohd Khair Anuar Hassan, 22, berkata, sewaktu kejadian mangsa berada di hadapan dan ketika sampai di sebuah jambatan, rakannya itu cuba mengelak kerbau yang melintas tetapi tidak berjaya.

“Masa tu kami dalam perjalanan dari tempat memancing untuk pulang  ke rumah dan tak  sangka kejadian ini akan berlaku."

“Keadaan jalan gelap waktu tu. Dia cuba mengelak tetapi tetap terlanggar kerbau dan bergesel pada pembahagi jalan."

“Saya tidak tahu nak buat apa bila tengok dia berlumuran darah."

“Melihatkan keadaannya yang makin lemah, saya cuba kejutkan dia untuk elak dia pengsan tapi tak lama kemudian dia senyap serta sudah tidak bernafas,” katanya.