Sebak terima hadiah pakej umrah | BAHAU - Biarpun berlainan agama, keadaan itu tidak menjadi penghalang kepada seorang pemimpin yang beragama Hindu di sini, untuk menghadiahkan pakej umrah kepada pembantu rumahnya.

Walau bagaimanapun, Sama Soka Jasmin, 47, sepatutnya menunaikan umrah dua tahun lalu, namun niat itu terpaksa dilupakan kerana ditipu orang tengah yang menguruskan pakej umrah di Indonesia.

Dia yang bekerja sebagai pembantu rumah Adun Jeram Padang, Datuk L Manickam selama 14 tahun, sebak ketika menceritakan pengalamannya sebelum berjaya menunaikan ibadah itu pada 21 hingga 31 Disember tahun lalu.

“Mungkin ALLAH belum mengizinkan ibu ke sana dua tahun lalu. Banyak sungguh dugaannya, ibu ditipu, wang habis. Ketika itu Sir (Manickam) beri sejumlah wang, ibu uruskan sendiri.

Sebak terima hadiah pakej umrah

“Sebelum itu ibu ada masalah pasport. Sir minta balik Malaysia semula nak uruskannya. Banyak pula halangan untuk ke lapangan terbang, lalu tiket dibatalkan.

“Masya-ALLAH... kemudian Sir bagi tahu... Sama agaknya Tuhan belum izin pergi, kita tunggu masa sesuai biar saya (Manickam) uruskan semua,” katanya ketika ditemui di kediaman Manickam di Taman ACBE, Bahau, semalam.

Sama Soka berkata, dia tidak menyangka majikannya menunaikan hajatnya ke Makkah, malahan ia seperti mimpi buatnya selain mengakui hanya ALLAH yang dapat membalas jasa baik majikannya.

Sementara itu menurut Manickam, beliau dan isteri, Datin V Vimala mengambil keputusan menguruskan semuanya kerana tidak mahu perkara sama berulang.

“Urusan itu tidak boleh dibuat di Malaysia jadi saya berurusan terus dengan Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur dan terbang ke Indonesia pada Ogos tahun lalu. Semuanya dibantu oleh Kedutaan Indonesia sehingga Sama berjaya menunaikan umrahnya.

Sebak terima hadiah pakej umrah

“Bagi saya, Sama telah berkhidmat dengan keluarga saya sudah lama sehingga dia pun pandai memasak masakan India. Jadi tidak salah saya hadiahkannya pakej ini walaupun kita berbeza agama.

“Saya sangat menghormati semua agama dan semuanya saya jaga termasuklah soal halal dan haram. Apabila melihat dia dapat pergi Makkah, saya pun gembira kerana itu adalah hajat semua orang yang beragama Islam,” katanya yang turut melahirkan terima kasih kepada Kedutaan Indonesia.

Sinar Harian difahamkan, Manickam terpaksa menerima hakikat apabila kos tanggungan pakej umrah Sama Soka pada 2014 lebur sehingga mencecah RM14, 000.