Sedih lihat anak sukar bernafas | PONTIAN -  Akibat penyakit jantung berlubang yang dihidapi sejak lahir seorang bayi berusia setahun di Kampung Parit Pasir, Pekan Nanas sukar bernafas dan kerap keletihan.

Bayi,  Mohd Amsyar Zikri disahkan menghidap penyakit berkenaan selepas dua hari dilahirkan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

Ibunya, Nur Liyana Suyadi, 29, berkata, anak bongsu daripada empat beradik itu turut menghidapi masalah ketiadaan injap atau dikenali sebagai pavsd with macps yang jarang berlaku kepada pesakit jantung berlubang.

Menurutnya,  anaknya itu dikesan mengalami masalah jantung apabila doktor mendapati bacaan oksigen di dalam darahnya sangat rendah.

“Luluh hati saya, tengok Amsyar merengek sebab sukar bernafas. Saya tahu dia nak bermain tapi saya perlu pantau keadaan dia."

“Amsyar juga hanya duduk di rumah saja ditemani kakak serta abangnya yang berusia lapan dan lima tahun,” katanya.

Sedih lihat anak sukar bernafas

Selain perlu mengawal pergerakan anaknya itu supaya tidak terlalu penat, Nur Liyana berkata, dia juga perlu membawa Asmyar ke HSA untuk diperiksa sebelum kes anaknya itu dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN).

“Saya bersyukur, bantuan bulanan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat)  diterima Amsyar sebanyak RM400 sebulan ringankan beban suami, Rashede Rohani, 29, yang bekerja sebagai juruukur bahan," katanya.

Masalah yang dihadapi keluarga berkenaan mendapat perhatian jabatan-jabatan kerajaan seperti Pejabat Daerah, JKM, Baitulmal dan Majlis Daerah Pontian (MDP) menerusi program Ziarah Kasih.

Pada program itu, keluarga berkenaan menerima sumbangan barangan keperluan dan wang tunai  disampaikan Pegawai Daerah Pontian, On Jabar @ Jaafar.

Hadir sama Pegawai JKM daerah, Baizlin Hasbi Bedol; Penolong Amin Baitulmal, Mohd Hazrol Taib serta Penghulu Mukim Jeram Batu dan Pengkalan Raja, Zool Shuhaifi Hashim.

Sementara itu, On berkata, program Ziarah Kasih itu diadakan bagi membolehkan agensi kerajaan melihat sendiri keadaan penduduk yang memerlukan seperti Amsyar.

“Kita berharap sumbangan yang disampaikan ini dapat meringankan beban mereka,” katanya.