• Semasa

    ‘Saya Mahu Jadi Huffaz’ – Antara Catatan Terakhir





    [BACA: Petua Berkesan Rawat Sakit Kepala Dan Angin]

    ‘Saya Mahu Jadi Huffaz’ – Antara Catatan Terakhir | JOHOR BAHRU – Berita penderitaan pelajar madrasah tahfiz swasta, Mohd. Thaqif Amin Mohd. Ghaddafi, yang meninggal dunia susulan dipukul pembantu warden asrama memang menyayat hati.

    Kisah allahyarham yang berusia 11 tahun itu mula didedahkan media pada Sabtu minggu lalu selepas dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail pada 19 April akibat kecederaan di bahagian kaki yang dialaminya dua minggu sebelum itu.
    Dua belah kakinya terpaksa dipotong ekoran jangkitan kuman dan sepatutnya allahyarham menjalani pembedahan pagi Rabu untuk dipotong tangannya yang dijangkiti kuman akibat darah beku demi menyelamatkan nyawanya.
    Bagaimanapun Allah SWT lebih menyayangi pelajar tahfiz ini apabila dijemput kembali ke Rahmatullah pada pukul 2.05 petang Rabu di sebalik cerita duka dirinya menjadi tular dalam kalangan netizen media sosial tempatan.
    Namun begitu, apa yang lebih menyentuh hati ialah catatan peribadi allahyarham Mohd. Thaqif sehingga turut menjadi perbualan ramai apabila didedahkan bapanya sendiri, Mohd. Gaddafi Mat Karim kepada pihak media.
    Beliau yang merupakan bekas pemain bola sepak Selangor itu berkata, anak ketiga daripada lima beradik tersebut memang bercita-cita mahu menjadi seorang hafiz al-Quran, tetapi nampaknya impian berkenaan tidak kesampaian.


    “Saya berharap semua pihak mendoakan yang terbaik ke atas anak saya, mendoakannya menjadi anak yang soleh,” kata Mohd. Gaddafi, 43, hiba sambil menyatakan beliau sekeluarga turut reda dengan pemergian anaknya itu.
    Antara catatan peribadi Mohd. Thaqif yang agak mencuit perasaan pelbagai pihak ialah nukilan azam dirinya berbunyi: “Saya mahu menjadi huffaz dalam masa dua tahun, saya pasti saya boleh, kau boleh Thaqif#”
    Tidak ketinggalan ialah nukilan senarai ‘petua’ allahyarham bagaimana mahu memastikan dirinya boleh menjadi seorang hafiz antaranya: “Dengar cakap ibu bapa. Jaga solat lima waktu. Menghafal surah yang senang dulu#”
    Juga peringatan untuk dirinya sendiri daripada Hadith Rasulullah SAW: “Sesiapa yang belajar ilmu untuk sesuatu maksud yang lain daripada Allah, untuk mendapat kemasyhuran, harta, maka hendaklah bersedia masuki neraka.”
    Mohd. Gaddafi tidak menjelaskan bilakah allahyarham anaknya itu membuat catatan sedemikian namun, ia jelas menunjukkan keazaman Mohd. Thaqif menuntut ilmu agama sebagai cukup tinggi tanpa diketahui keluarganya.
    Media sebelum ini melaporkan suspek berusia 29 tahun yang memukul mangsa dan rakan-rakannya itu mendakwa konon nakal membuat bising dalam sebuah surau meskipun mereka tidak pula melakukan kesalahan tersebut.
    Jenazah Mohd. Thaqif dibawa pulang ke rumah keluarganya di Felda Bukit Aping Timur, Kota Tinggi untuk dikebumikan di tanah perkuburan di situ. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh anak muda ini.
    Inna lillah wa inna ilaihi rojiun.

    Tiada ulasan

    http://2066848.bdv-w.bidvertiser.com/BidVertiser.dbm?pid=175079&bid=2066848&xml=1&czero=4&dlt=0&maxcount=[MAX_RESULTS]&ownid=[SUBID]&Kterm=[KEYWORDS_ENCODED]&cip=[CLIENT_IP]&bvref=[REFERRER_ENCODED]&u_agnt=[USERAGENT_ENCODED]&bvlang=[BROWSER_LANG-ENCODED]