• Semasa

    ‘Tiada Maaf Bagimu’ – Watson Nyambek





    [BACA: Petua Berkesan Rawat Sakit Kepala Dan Angin]

    ‘Tiada Maaf Bagimu’ – Watson Nyambek | MIRI – Bekas jaguh pecut negara, Watson Nyambek hari ini menolak permohonan maaf daripada pihak Primeworks Studios Sdn Bhd berhubung insiden nama bapanya dipersendakan seperti kambing.

    Mimik tersebut dilakukan oleh pengacara Azizul Ammar dalam rancangan “Sukan Tak Sentral” terbitan Primeworks yang disiarkan pada dua hari lepas.
    Dalam sidang media yang dihadiri kedua-dua pihak, Watson menjelaskan dia masih tidak dapat menerima penghinaan itu.
    “Sekarang saya hendak jelaskan walaupun mereka meminta maaf di hadapan anda semua (media), di tv serta di depan rakyat Malaysia, khasnya di Sarawak, pada saya sekarang ini saya sangat susah hendak menerima maaf tersebut.
    “Ini kerana bapa saya ini dipandang seperti seekor haiwan. Apa perasaan saya dan bagaimana perasaan anda semua?” katanya.

    Katanya lagi, untuk ketika ini hatinya belum terbuka untuk memberikan kemaafan.
    “Mungkin suatu masa nanti, hati saya terbuka, dan saya akan menerima kemaafaan ini. Jadi sekarang saya belum hendak menerima maaf tersebut,” jelasnya.
    Beliau berkata demikian pada sidang media di Hotel Grand Palace bersama pengacara Azizul Ammar dan Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar.
    Watson memberitahu, beliau dan keluarga memandang serius apa yang berlaku dan ia menjadi faktor beliau membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah Miri, Sarawak pagi tadi.
    Dalam sidang media itu juga, Ahmad Izham mengumumkan bahawa program tersebut telah ditamatkan siarannya serta-merta, manakala pengacara Azizul Ammar digantung daripada siaran untuk tempoh yang tidak dinyatakan.
    Malah beliau mengakui slot rakaman itu tidak sepatutnya disiarkan namun ia bukan satu yang disengajakan.
    Penerbit itu menambah, pihaknya akan membuat permohonan maaf secara terbuka dalam siaran saluran TV3.
    Sementara itu, Ammar secara sebak memohon maaf atas ‘ketelanjurannya’ kerana mempermainkan nama mendiang ayah bekas pelari pecut negara itu sambil mengakui apa yang berlaku turut memberi kesan kepada keluarganya sekali.
    “Ia menjadi pengajaran dalam kehidupan saya dan saya menyesalinya.
    “Saya dengan serendah-rendah diri dan hati memohon maaf kepada abang Watson, isteri dan keluarga,” katanya. 

    Tiada ulasan

    http://2066848.bdv-w.bidvertiser.com/BidVertiser.dbm?pid=175079&bid=2066848&xml=1&czero=4&dlt=0&maxcount=[MAX_RESULTS]&ownid=[SUBID]&Kterm=[KEYWORDS_ENCODED]&cip=[CLIENT_IP]&bvref=[REFERRER_ENCODED]&u_agnt=[USERAGENT_ENCODED]&bvlang=[BROWSER_LANG-ENCODED]