• Semasa

    Warga Emas Maut Dalam Kejadian Kebakaran [SAKSIKAN...]





    [BACA: Petua Berkesan Rawat Sakit Kepala Dan Angin]

    Mantin: “Walaupun sempat memegang tangan mama, saya gagal menarik dia keluar kerana tersekat antara ruang bilik air dan dapur yang sempit,” kata Rosieriyantie Rosli, 24, menceritakan saat getir rumahnya di Jalan Sungai Jai, Kampung Sungai Jai, di sini, musnah dijilat api yang meragut nyawa ibunya Rosaini Khalid, 60, malam kelmarin.

    Dalam kejadian jam 7.30 malam, Rosaini yang menghidap angin ahmar dikeluarkan anggota bomba namun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.

    Rosieriyantie berkata, ketika kejadian, dia baru pulang dari kerja di Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) di KL Sentral, Kuala Lumpur.

    Katanya, ketika hendak masuk ke rumah, dia terpandang api di bilik ibunya lalu mengetuk cermin tingkap dan menjerit memanggilnya beberapa kali, namun tiada sahutan.

    API marak dalam kebakaran yang berlaku meragut satu nyawa.

    “Saya terus ke bilik nenek (Ainun Md Noh, 81) di bahagian belakang yang ketika itu baru selesai solat Maghrib dan menyuruhnya membuka pintu depan. Ketika nenek buka pintu, terdengar satu letupan dari arah bilik mama dan api mula merebak.

    “Saya cuba membawa ibu keluar tapi api merebak cepat membakar rumah diperbuat daripada kayu dan papan. Asap tebal menyukarkan bernafas, menyebabkan saya keluar meminta tolong,” katanya sebak ketika ditemui di tempat kejadian.

    Katanya, beberapa jiran cuba membantu namun disebabkan api cepat marak, ibunya terperangkap di dalam rumah sebelum anggota bomba tiba dan memadam kebakaran.

    “Saya tak perasan perubahan pada diri ibu sebelum kejadian, tapi nenek (Ainun) beritahu, ibu yang diserang strok pada 2004 dan terpaksa bertongkat, tiba-tiba rajin menolong membasuh pinggan mangkuk.

    “Sebenarnya, kami ada pembantu rumah yang datang tiga kali seminggu untuk mengemas rumah,” katanya yang juga anak bongsu daripada lima beradik.

    Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7.52 malam dan empat pegawai serta 23 anggota terbabit dalam operasi memadam kebakaran dan menyelamat mangsa.

    Katanya, sebaik menerima maklumat, sepasukan 12 anggota dan dua pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Mantin tiba di lokasi dalam masa 10 minit.

    “Sebaik sampai, kita berusaha memadam kebakaran dan pada masa sama dimaklumkan, seorang wanita menghidap strok terperangkap di dalam bilik air rumah itu.

    “Kita berjaya mengeluarkan mangsa yang ketika itu masih bernyawa dan melecur kira-kira 40 peratus tubuhnya.

    “Mangsa diserahkan untuk dihantar ke hospital menaiki ambulans, namun saya dimaklumkan, mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan.

    “Anak dan ibu kepada mangsa terselamat,” katanya yang turut berada di lokasi bagi memantau operasi.

    Norazam berkata, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

    “Saya difahamkan, petang tadi (kelmarin) bekalan elektrik di rumah itu terputus dan ada maklumat mangsa menggunakan lilin, namun kita masih menyiasat kesahihan punca kebakaran,” katanya.

    “Rumah ini separuh kekal dan kita dimaklumkan anak mangsa, api cepat merebak. Kepantasan kita berjaya mengeluarkan mangsa daripada rentung dan saya percaya ketika itu masih hidup,” katanya.

    Beliau berkata, pihaknya turut dibantu anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih dan Bangi.

    Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Mohd Yusoff Awang ketika dihubungi mengesahkan kejadian.- Metro.

    Tiada ulasan

    http://2066848.bdv-w.bidvertiser.com/BidVertiser.dbm?pid=175079&bid=2066848&xml=1&czero=4&dlt=0&maxcount=[MAX_RESULTS]&ownid=[SUBID]&Kterm=[KEYWORDS_ENCODED]&cip=[CLIENT_IP]&bvref=[REFERRER_ENCODED]&u_agnt=[USERAGENT_ENCODED]&bvlang=[BROWSER_LANG-ENCODED]