• Semasa

    Suami Mundar Mandir Menanti Isteri Yang Sedang BERSALIN… Jururawat Keluar Dan… (Sediakan Tisu) !!





    [BACA: Petua Berkesan Rawat Sakit Kepala Dan Angin]

    Suami Mundar Mandir Menanti Isteri Yang Sedang BERSALIN… Jururawat Keluar Dan… (Sediakan Tisu) !! | Apabila menatap gambar-gambar ibu bersalin, menerawang fikiran aku teringatkan kembali detik-detik isteri aku ingin melahirkan zuriat pertamaku ke dunia. 

    Ketika diberitahu isteriku dimasukkan ke dalam hospital pada jam 1 pagi aku masih dibuai mimpi di rumah sewa berhampiran universiti. Keletihan akibat kuliah penuh sepanjang hari sebelumnya. 

    Sebelum tidur, aku sempat berbalas-balas SMS dengan isteriku bertanyakan keadaannya ketika itu. Katanya, dia tidak makan sejak petang lagi. Aku menyuruh dia mengambil air susu sebelum tidur.

    111
    Sekadar Gambar Hiasan

    Isteriku dimasukkan ke wad kerana air ketuban telah pecah. Katanya bukaan hanya 2cm ketika itu. Dia memberitahuku supaya jangan risau kerana masih belum rasa sakit bersalin. Pada keesokan harinya barulah aku bertolak ke hospital untuk bertemu dengan isteri yang kucintai. Menatap wajahnya yang tidak bermaya, baru aku teringat yang isteriku masih tidak menyentuh makanan sejak dari petang semalam. Aku menyuruhnya makan sedikit, tetapi dia menolak kerana doktor telah menyuruh isteriku berpuasa bermula jam 6 pagi. Sayu melihat dirinya yang lemah, aku menghulurkan air minuman untuk membasahkan tekaknya. Tabahnyaa dirimu..

    Apabila jam menunjukkan pukul 10.00 pagi dengan bukaan seluas 4cm, dia ditolak masuk ke dalam labour room. Entah kenapa dengan bukaan seluas itu, dia sudah ditolak masuk ke bilik bersalin. Aku pun confuse. Setahu aku, bukaan yang sesuai untuk melahirkan anak ialah 10cm. Dan aku dimaklumkan oleh guard wanita India yang bertugas, isteri aku ditempatkan di bilik D. Dia memaklumkan bahawa kebiasaannya bilik itu akan dihuni oleh mereka yang mengalami masalah untuk bersalin. Aku mula gelisah. Tak tentu arah. Mungkin itu adalah mitos yang direka oleh achi India itu berdasarkan pengalamannya sebagai senior guard di sana. Pujuk aku sendirian.

    Berbekalkan Quran burukku yang aku bawa bersama barang-barang isteri dan baby yang bakal dilahirkan, aku selak helaian 440. Ya.. Aku mencari surah Yaasin. Pesan nenekku, bacalah Yaasin. Semoga dengan berkat dan rahmat yang ada pada surah itu dapat membantu isteriku bersalin secara normal. Kumulakan dari al-fatihah dan disusuli surah karamah itu. Satu persatu perkataan dan ayatnya ku alunkan perlahan sambil di dalam hati tak henti-henti berdoa agar diselamatkan isteri dan anakku.

    Usai membaca Yaasin dan menunaikan solat Zohor, aku tunggu lagi. Achi India yang sedari tadi memerhatikan gerak langkahku menegurku ‘’Adik.. Mari ikut saya. Kita masuk ikut pintu belakang. Adik boleh jumpa isteri adik,’’pelawanya ramah. Mungkin dia sedar aku dah semakin gelisah dan asyik mengintai ke dalam labour room. Alhamdulillah. Kalau boleh jumpa tenang sikit hati aku sebab dari tadi hanya membalas sms je. Keadaan sebenar isteri aku tidak aku ketahui.

    Dari jam 10 sampailah jam 4 petang isteriku ditahan. Bukaannya sekarang hanyalah 6cm. Setelah diinduce kali ke dua, bukaan rahimnya masih belum membenarkan bayi untuk keluar. Akibat terlalu lama menunggu, akhirnya doktor memutuskan isteriku perlu dibedah.. Ini kerana bayi di dalam kandungan isteriku semakin lemah. Aku yang cuba mengawal diri agar tidak panik, akhirnya tewas kepada diri sendiri. Air mata yang cuba ku sekat agar tidak mengalir seolah-olah tidak dapat dibendung. Seolah-olah mataku tidak ada penakung. Setiap kali aku bertutur, menenangkan isteriku.. Setiap kali itulah air mataku kan bercucuran jatuh ke tangannya. 

    Mana taknya.. dengan keadaan dirinya yang sudah tidak bermaya, ditambah pula dengan tangan dan kakinya sejuk bagaikan direndam ais, tubuhnya menggigil. Dengan segala macam wayar berselirat di perut dan tangannya.. Hatiku meruntun sayu. Para doktor meninggalkan aku dan isteri untuk meluangkan masa bersama. Mungkin ini adalah untuk kali terakhirnya aku boleh bercakap bersama isteriku. Ini kerana doktor telah membuat keputusan, isteri aku mesti dibedah bagi menyelamatkan bayi yang hampir lemas.

    Beralunkan surah Yaasin yang dipasang di bilik bersalin itu..Mata kami bertentangan. Isteriku perasan mataku kembali berkaca. Dia mula menuturkan kata-kata cinta bagi memulihkan semangatku.

    ‘’Abang.. Hensemnya Abang harini. Abang suka tak dengan baju yang sayang belikan untuk Abang tu?’’

    Pada ketika itu juga, aku tidak dapat menjawab dengan perkataan tapi aku rangkul dirinya sambil menangis teresak-esak seperti tiada lagi esok untuk kami bersama. Aku tidak mampu bersuara walaupun mengeluarkan sepatah kata. Tapi, dia mempunyai kekuatan yang amat luar biasa. Walaupun dia ‘berpuasa’ , dia masih gagah. Masih kuat untuk memulihkan semangatku yang semakin luntur..

    ‘’Abang.. Seandainya doktor memberi pilihan, siapakah yang Abang ingin selamatkan, sayang atau anak kita.. Abang tolong jawab ‘’ Selamatkan anak saya.. ‘’. Berilah anak kita peluang untuk merasai kebahagiaan hidup di dunia ini biarpun tanpa umminya di sisi..’’

    Sekali lagi aku menangis semahunya. Aku tidak mahu keadaan itu berlaku. Aku mahukan isteri aku. Aku mahukan kedua-duanya berada di sisiku. Membesarkan anakku bersama insan pilihanku.

    Tamatnya waktu bersama. Isteriku ditolak untuk dibawa ke bilik pembedahan. Aku menghantar Isteriku dengan lirik mata berair sebelum berlalu ke musolla hospital. Aku berwudhuk. Solat 2 rakaat. Aku sujud lama-lama memohon keampunan untuk isteriku juga untuk diriku lebih-lebih lagi. Mungkin ini adalah kaffarah dosa aku selama ini. Aku menangis semahu-mahunya..

    Sedari jam 4.30 petang aku menanti penuh sabar di luar bilik pembedahan. Aku dail, aku telefon nombor keluarga terdekat, sahabat handai dan rakan-rakan yanga aku kenal. Aku pohon dan merayu dari mereka agar doa dikirim buat isteriku yang sedang bertarung nyawa melahirkan seorang khalifah penambah ummat Nabi tercinta. Mulutku tidak henti-henti menbacakan Hizbul Bahri. Zikir berharga yang tiada nilainya yang aku terima ijazahnya dari Al-Allamah Syeikh Nuruddin Al-Banjari Al-Makki.

    1 jam berlalu. Mundar-mandirku tidak mengeluhku untuk aku duduk. Walaupun kakiku lenguh berdiri dari tadi, tapi perasaan ingin tahu akan keadaan isteriku melenyapkan semua keletihan itu. Akhirnya penantian aku berakhir.. Seorang nurse menolak troli tertutup.. incubator barangkali namanya.. dengan seorang bayi mata bulat muka mirip anak Cina. Oh! Rupa-rupanya, bukan isteri aku seorang kat dalam. Ibu cina pun ada.

    ‘’Suami kepada Zulaikha’’ ‘’Suami kepada Zulaikha’’ jerit nurse mencari ‘Yusuf’ Zulaikha.

    Orang ramai yang turut sama mengintai bayi cina itu berpandangan antara satu sama lain termasuklah aku. Tiba-tiba aku teringat. Akulah suami Zulaikha. Macam manalah boleh lupa pulak time-time macam tu. Aisehhh.. Biasalah beb. Cuak kot masa tu. Sampai nama bini pun lupa daaa..

    ‘’Ya.. Saya kak. Saya suami dia’’

    ‘’Encik.. Ini anak encik. Encik bolehlah pegang dan azankan dia. Tapi sebelum tu, Encik kena kata apa?’’

    Nak kata apa pulak nurse ni. Alhamdulillah ke? Ke terima kasih nurse? Mana aku tahu. Dah la rasa tak percaya pun ada yang anak cina yang aku sangka tadi tu rupanya anak aku.. Boleh pulak dia suruh kata apa. Aduilaa.. Nurse pun.
    Mungkin nurse tu perasan aku tengah blur, dia pun selak kain bedung anak aku bagi menyatakan jantinanya. Oh.. Nurse nak suruh aku buat pengakuan yang anak aku ni perempuan. Baru aku faham.

    ‘’Perempuan nurse’’ kataku tersenyum malu.

    Aku dakap anak aku. Aku cium dahi dan kedu-dua pipinya lalu aku azan dan iqamatkan di kedua-dua belah telinganya. Allahurabbi. Comelnya anak aku. Mata hitam dia bulat besar. Taknak tutup pulak tu. Alhamdulillah.

    ‘’Nurse, macamana dengan isteri saya? Bagaimana keadaan dia?’’ tanyaku setelah sedar dari pukauan mata anak aku ini.

    ‘’Isteri encik selamat. Dia sedang dijahit. Kejap lagi dia keluar..’’

    Tidak lama selepas itu, Isteri aku ditolak keluar. Alhamdulillah. Syukur kepada-Mu ya Allah. Biarpun Kau mentaqdirkan dia bersalin secara Caesar, namun aku bersyukur sangat-sangat kerana Engkau masih lagi memberikan kesempatan untuk aku berkasih-sayang dengannya. Hanya pada Mu segala puji-pujian layak kami berikan.

    Keluarnya isteri aku dari bilik pembedahan bukannya dengan tangisan. Malah, tiada setitis air pun yang aku perasan membasahi matanya. Walaupun kesakitan, seukir senyuman dia hadiahkan kepadaku. Terharu. Sungguh terharu. Aku kucup dahinya dan mengucapkan

    ‘’Terima kasih Sayang kerana sanggup berkorban nyawa demi melahirkan zuriat Abang’’.

    P/S : Wahai suami sekalian.. Hargailah isteri kita sebaiknya. Apabila ada tercalit perasaan tidak puas hati dan ingin marah kepadanya.. Ingatlah akan pengorbanan yang telah dia berikan kepada kita. Zuriat keturunan kita yang lahir dari rahimnya. Diamkanlah diri tenangkanlah hati. Bila keadaan kembali reda, bersuaralah. Nasihatilah mereka dengan hikmah hasanah. Bukan dengan kekerasan yang bakal mengundang padah. Sesungguhnya wanita itu dijadikan dari tulang yang bengkok. Andai ditegakkan dengan kekerasan nescaya kan patahlah ia. Akan tetapi andai dilentur dengan lemah lembut dan profesional, dia kan menjadi bidadari kita bukan setakat di dunia tetapi di syurga yang kekal selamanya.

    Tiada ulasan

    http://2066848.bdv-w.bidvertiser.com/BidVertiser.dbm?pid=175079&bid=2066848&xml=1&czero=4&dlt=0&maxcount=[MAX_RESULTS]&ownid=[SUBID]&Kterm=[KEYWORDS_ENCODED]&cip=[CLIENT_IP]&bvref=[REFERRER_ENCODED]&u_agnt=[USERAGENT_ENCODED]&bvlang=[BROWSER_LANG-ENCODED]