• Semasa

    Hukuman Penjara Pelakon Popular Ini Ditangguhkan..





    [BACA: Petua Berkesan Rawat Sakit Kepala Dan Angin]

    Salman
    Hukuman Penjara Pelakon Popular Ini Ditangguhkan | Mahkamah Tinggi Mumbai menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara lima tahun ke atas pelakon filem Bollywood Salman Khan yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen pada Rabu berkaitan kes langgar lari pada 2002 sementara menunggu rayuannya.
    Hakim Abhay Thipsay memutuskan bahawa merit rayuan akan didengar pada Julai selepas mendengar penghujahan pihak pendakwaan dan pembela mengenai ikat jamin interim bagi Salman yang berakhir hari ini.
    Abhay memerintahkan Salman yang tidak hadir di mahkamah hari ini, supaya menyerah diri di mahkamah dan mengemukakan ikat jamin 30,000 rupees (kira-kira RM1,800)
    Mahkamah juga membenarkan permohonan pihak pembela untuk membenarkan Salman membuat perjalanan ke luar negara.
    Salman telah dikenakan ikat jamin sejak 2002 dan ikat jamin sementara selama dua hari pula berakhir hari ini.
    Media tempatan melaporkan bahawa ekoran keputusan itu, kes tersebut dijangka berlarutan selama beberapa tahun lagi sebelum rayuan selesai didengar.
    Sejurus selepas keputusan mahkamah diketahui, sorakan kuat kedengaran berhampiran apartmen mewah pelakon itu oleh beribu-ribu peminat tegar pelakon itu yang berkumpul di situ sejak Rabu malam.
    Pada hari Rabu, Mahkamah Sesyen memutuskan pelakon berusia 49 tahun itu bersalah atas tuduhan menyebabkan kematian tanpa niat dan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas Salman dan denda 25,000 rupee (kira-kira RM1,500).
    Salman disabitkan kesalahan melanggar kedai roti di tepi jalan semasa memandu kenderaan Toyota Land Cruiser pada 28 September 2002, menyebabkan kematian seorang dan mencederakan empat orang gelandangan yang sedang tidur di kaki lima jalan.
    Ini bukan kali pertama Salman menghadapi tindakan undang-undang. Pada 1988, Salman disabitkan kesalahan atas tuduhan memburu dan membunuh rusa dekat Jodhpur, Rajasthan semasa penggambaran filem ‘Hum Saath Saath Hain’.
    Pelakon itu dijatuhi hukuman penjara setahun dan satu lagi kes memiliki senjata api masih menunggu untuk didengar.
    Dalam perkembangan berkaitan, the Times of India melaporkan mengenai penghakiman 240 muka surat oleh Hakim Mahkamah Sesyen  D. W. Deshpande bahawa mahkamah tidak mempercayai pembelaan pelakon itu bahawa beliau tidak memandu kenderaan Toyota Land cruiser berkenaan.
    Hakim berpendapat bahawa jika tertuduh tidak melakukan perbuatan itu, maka dia boleh meyakinkan orang ramai bahawa tindakan perlu diambil terhadap pemandu terbabit.
    “Salman Khan tidak menunggu polis tiba di tempat kejadian tetapi pulang ke rumah dan menyembunyikan dirinya hingga jam 10.30 pagi,” tegas Deshpande.
    Bulan lepas, pemandu Salman memberi keterangan di mahkamah dengan mendakwa bahawa tayar kenderaan cruiser itu tiba-tiba pecah lalu menyebabkan kemalangan.
    Bagaimanapun, mahkamah menolak keterangannya dan mendapati bahawa Salman adalah pemandu kenderaan itu dan dia mabuk ketika kemalangan itu berlaku, lapor Bernama.

    Tiada ulasan

    http://2066848.bdv-w.bidvertiser.com/BidVertiser.dbm?pid=175079&bid=2066848&xml=1&czero=4&dlt=0&maxcount=[MAX_RESULTS]&ownid=[SUBID]&Kterm=[KEYWORDS_ENCODED]&cip=[CLIENT_IP]&bvref=[REFERRER_ENCODED]&u_agnt=[USERAGENT_ENCODED]&bvlang=[BROWSER_LANG-ENCODED]