• Semasa

    "Kau Dengar Tak Dia Mengilai?" - Luahan Cik Waf





    [BACA: Petua Berkesan Rawat Sakit Kepala Dan Angin]


    Hari minggu, kebetulan malas benar nak keluar dari rumah. Maka aku mengemas rumah. Sedang sibuk mengemas rumah, terjumpa album gambar ketika zaman muda remaja. 

    Terpegang pula gambar ketika tinggal di asrama. Aku yakin, setiap asrama punyai cerita hantunya yang tersendiri, begitu juga dengan aku. Ditambah pula sekolah aku ini telah berusia hampir 100 tahun. Tidak hairanlah sekolah aku ini terutamanya asrama, berhantu. 

    Kira-kira 17 tahun yang lalu, setelah mendapat keputusan SPM, aku ditawarkan ke Tingkatan 6 aliran Sains Biologi di sekolah ini yang jauhnya 70 minit dari rumah. Memandangkan aku tinggal di pendalaman, suka untuk aku berulang alik ke sekolah baru ini, maka ayah buat keputusan untuk masukkan aku ke asrama biarpun aku menentang keras.

    Sebelum mendaftar di asrama lagi, makcik aku yakni jiran sebelah rumah yang berusia 40 tahun menceritakan pengalamannya bersekolah di sekolah itu ketika dia berusia 14 tahun. 

    Katanya ketika tinggal di asrama, kerap kali makanan mereka hilang. Anggapan pelajar, ada pencuri di kalangan mereka namun tiada sesiapa yang mahu mengaku. Sehinggalah suatu hari pencuri itu berjaya ditangkap. Pencuri itu adalah orang kenit! Merasa kasihan, lalu para pelajar melepaskannya.

    Jelas makcik aku lagi, dia pernah ternampak lelaki berpakaian seragam berkawad di padang di tengah malam dan mereka semua tidak berkepala. 

    Mendengar ceritanya itu membuatkan aku kecut perut. Semacho-macho aku pun bila dengar cerita hantu, boleh goyah keberanian dalam diri ini.

    Tetapi ayah berdegil, dia masukkan juga aku ke asrama berhantu itu. 

    Aku lihat, ada empat buah bangunan yang setiap satunya terletak di lereng bukit. Aku dapat dorm yang kedua. Di bahagian atas lagi ada dua dorm yang mana salah satunya paling hujung atau atas bukit sekali. Namun tidak dibuka untuk pelajar. Dorm yang paling 'keras' kata mereka. 

    Ramai yang menyatakan sesiapa yang tinggal di dalam dorm itu akan diserang histeria atau keesokan harinya tidur di atas padang di mana mereka diangkut oleh makhluk halus. 

    Malam pertama di asrama sebelum tidur, kami satu dorm akan beramai-ramai membaca surah al-mulk dan surah yasin. Aku dimaklumkan bahawa setiap malam ada sahaja yang histeria dalam dorm tersebut. Alhamdulillah selepas aku masuk, tiada lagi yang histeria. Berkat doa seorang lagi yang bertambah, mungkin. 

    Antara larangan di dalam asrama ini ialah, penghuni tidak dibenarkan menyidai atau mengambil kain di ampaian ketika tengah malam ataupun sebelum subuh kerana di kawasan ampaian adalah di belakang dorm dan sebnar-benar di belakang dorm ini ada kuarters askar British dan Jepun yang telah lama ditinggalkan. Dan kami hanya diasingkan dengan pagar. Jadi, sudah banyak kali budak pengsa gara-gara diganggu makhluk halus dari bangunan itu.

    Aku? Selalu tak mendengar nasihat. Tambahan pula aku kalau boleh nak keluar dari asrama. Bukan sebab takutkan hantu tetapi rimas kena patuh pada peraturan yang terlalu banyak. Jadi, aku pergi juga menyidai pakaian sebelum subuh.  selang dua hari sekali. Hendak dijadikan cerita, aku tak nampak apa-apa pun. Mungkin sebab aku rabun teruk. 

    Dewan makan terletak di kaki bukit. Dalam dewan makan ini jugalah tempat kami prep pada waktu malam. Selalunya pelajar yang akan menghadapi peperiksaan besar akan pulang dari prep lebih lewat dari yang tak ada menghadapi peperiksaan. 

    Suatu malam, aku seperti biasa antara orang pertama dahulu yang masuk dorm sebab tak nak prep lama-lama. Ketika aku berbual-bual dengan budak dorm, secara tiba-tiba aku terdengar di luar budak-budak berlari sambil menjerit-jerit di tangga. Siap aku dengar, "Allahuakbar'" berkali-kali. 

    Rupa-rupanya ketika mereka dalam perjalanan pulang ke dorm, mereka ternampak seorang perempuan berambut panjang sedang duduk di tangga. Mukanya dilindungi rambutnya yang panjang. Apa lagi, berlari tak cukup tanahlah semua orang. Nasib baik aku balik tepat pada masanya. 

    Suatu malam ketika aku sedang berbincang dengan rakan sedorm pada jam 10 malam lebih kurang, tiba-tiba terdengar suara seorang perempuan ketawa. Suasana yang bising menjadi sunyi sepi. Maka lagi jelas kedengaran suara ketawa tersebut dari luar dorm. 

    "Siapa pula yang stress sampai ketawa nyaring malam ini?" soal aku.

    "Bukan oranglah! Kau dengar tak dia mengilai?" soal kawan di sebelah. 

    Aku terdiam, betul juga. Mengilai namanya ini. Awal betul dia nak test suara? Aku ingatkan jam 12 malam hantu-hantu akan keluar. 

    Malam itu, kami semua tidur secara berjemaah di tengah-tengah dorm, takut punya pasal. 

    Itu belum cerita bilik warden diganggu. Kami terima warden baru, cikgu bujang. Dia tinggal dalam bilik di sebelah dewan makan.

    "Beraninya cikgu tinggal seorang diri di situ," kata rakan-rakan yang lain. 

    Rupa-rupanya dalam bilik itu ada warden yang pernah membunuh diri dengan mengantungkan dirinya. 

    Tidak lama selepas aku mendengar cerita itu, warden yang baru ini telah memohon pindah sekolah. Tidak pasti perpindahannya disebabkan apa. 

    Pernah juga bila sekolah membuat program berkhemah di padang. Asrama kami di lereng bukit ini menghadap padang sekolah. Aku tak sertai program itu tetapi rakan sekelas ikut serta. 

    Selesai program perkhemahan itu, kesokan harinya kawan aku datang berjumpa dengan aku.

    "Kau duduk di asrama itu kan? Hati-hati, aku dapat lihat makhluk berbulu berwarna hitam dan sangat besar ada di asrama itu pada malam hari berkhemah," katanya. 

    Rupa-rupanya kawan aku ini mempunyai kebolehan untuk melihat makhluk halus. Sejak dari itu aku lebih berhati-hati. 

    Bermacam-macam lagi gangguan diterima tetapi aku setakat ini hanya terdengar dan ternampak kelibat itu adalah. Tetapi aku buat tak tahu saja. Maklumlah sekolah lama, asrama sekolah aku terletak di selatan Perak ini masih gah berdiri walaupun banyak pembangunan di sekitarnya. 

    Teringat pada kata mak aku setiap kali aku mengadu tentang hantu di asrama. 

    "Hantu pun nak pergi belajar. Biarlah dia," kata mak. - Cik Waf

    Tiada ulasan

    http://2066848.bdv-w.bidvertiser.com/BidVertiser.dbm?pid=175079&bid=2066848&xml=1&czero=4&dlt=0&maxcount=[MAX_RESULTS]&ownid=[SUBID]&Kterm=[KEYWORDS_ENCODED]&cip=[CLIENT_IP]&bvref=[REFERRER_ENCODED]&u_agnt=[USERAGENT_ENCODED]&bvlang=[BROWSER_LANG-ENCODED]