SAYU !! Budak 3 Tahun Cedera Dikelar Bapa Sendiri
JITRA - Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun cedera selepas dikelar oleh bapanya sendiri, petang semalam.
Dalam kejadian yang berlaku di Kampung Tengah Kodiang itu pada jam 5.30 petang, suspek berusia 29 tahun turut cedera selepas menikam dadanya sendiri yang dipercayai cuba membunuh diri.
Menurut Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Pemangku ACP Abdul Rahim Abdullah, suspek dipercayai mempunyai masalah mental.
"Ketika kejadian, isteri suspek bersama nenek mangsa berada di luar rumah dan suspek baru sampai di rumah. Kemudian suspek terus mengambil mangsa dan mengunci pintu rumah menyebabkan mereka tidak dapat masuk ke dalam.
"Nenek mangsa kemudian mendengar cucunya menjerit dan selepas itu suspek membuka pintu dan beliau ternampak mangsa dan suspek berlumuran darah," kata Abdul Rahim, lapor BERNAMA.
Kejadian itu kemudian dilaporkan di Balai Polis Kodiang dan polis telah datang serta menahan suspek yang terbaring di ruang tamu dengan kecederaan di bahagian dada kiri. Polis juga turut merampas pisau dapur yang digunakan.
Menurut isterinya, lelaki itu sudah seminggu mengalami kemurungan serta mempunyai rekod sakit mental.
Suspek dan mangsa kini sedang dirawat di Hospital Kangar dan dilaporkan dalam keadaan stabil. - PIXEL MEDIA
Tiada ulasan