Gesa henti salahkan ibu bapa mangsa nahas basikal
Gesa henti salahkan ibu bapa mangsa nahas basikal | JOHOR BAHRU - "Cukup-cukuplah. Saya amat berharap masyarakat hentikan tular yang menyalahkan ibu bapa dan mangsa," demikian kata Fatimah Nasir, ibu kepada seorang daripada mangsa insiden berbasikal di Jalan Lingkaran Dalam, di sini, semalam.
Fatimah berkata semua ibu bapa sentiasa sayang dan mengambil berat tentang anak mereka sekali gus tidak mengabaikan anak seperti didakwa masyarakat.
"Mereka (masyarakat) tidak rasa apa yang kami rasa, saya tidak ada kuasa untuk menyekat tular, namun, saya mohon agar ia segera dihentikan," katanya kepada pemberita apabila ditanya mengenai tular di laman sosial yang menyalahkan ibu bapa dan mangsa atas insiden berbasikal mengorbankan lapan nyawa, semalam.
Terdahulu, Fatimah, 43, menerima lawatan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Asiah Md Ariff yang turut memberikan sumbangan kepada keluarganya di Taman Sinaran Kempas, di sini hari ini.
Gesa henti salahkan ibu bapa mangsa nahas basikal
Menurut beliau arwah anaknya Mohammad Azrie Danish Zulkefli, 14, adalah anak yang baik dan ringan tulang membantunya membuat kuih selain menjaga adik-adiknya."Saya tidak sangka soalan arwah (Mohammad Azrie Danish) tentang prosedur bedah siasat mangsa kemalangan adalah perbualan terakhir kami anak-beranak. Saya kemudian menerangkan kepadanya tentang prosedur bedah siasat bagi mangsa kemalangan jalan raya," katanya dalam keadaan sebak.
Ibu kepada lima anak yang bekerja di sebuah syarikat swasta itu berkata sebelum keluar rumah pada 9 malam, anak kedua daripada lima beradik itu meminta izin darinya untuk berjumpa beberapa rakan di kelab basikalnya, kira-kira 100 meter dari rumah mereka.
"Sebelum keluar, arwah ada beritahu bahawa malam ini adalah 'final lap' mereka. Saya tidak faham apa yang sebenarnya dimaksudkan arwah," katanya.
Sementara itu, bapa Mohammad Azrie Danish, Zulkefli Sarkam, turut meminta orang ramai supaya mendoakan untuk kesemua mangsa insiden itu dan bukannya menuding jari kepada mana-mana pihak.
Gesa henti salahkan ibu bapa mangsa nahas basikal
Zulkefli, 43, berkata mereka sekeluarga hanya mengetahui kejadian menimpa anaknya kira-kira 6 pagi semalam dan segera bergegas ke balai polis berhampiran bagi membuat laporan.
"Saya sendiri melihat kereta yang melanggar anak saya di balai polis semalam. Jika benar kereta itu tidak dipandu laju, bagaimana kenderaan itu boleh rosak teruk seperti melanggar bas atau kenderaan berat dan bukannya basikal," katanya.
Zulkefli yang bekerja sebagai pembantu kedai milik keluarganya berkata impian mereka sekeluarga adalah untuk menghantar arwah anaknya menyambung pelajaran di sebuah sekolah tahfiz di Kedah, tahun depan.
Dalam kejadian 3 pagi semalam, lapan remaja lelaki berbasikal maut apabila dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang wanita berusia 22 tahun.
Lapan yang lain turut cedera dengan dua daripadanya berada di Unit Rawatan Rapi, Hospital Sultanah Aminah, di sini, manakala enam yang lain dirawat di wad hospital sama.
Tiada ulasan