Facebook Page Familia Myvi Club Diserang
Kuala Lumpur: Tiga beranak termasuk bayi perempuan berusia 7 bulan maut selepas SUV Pajero Sport dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan dua Perodua Myvi di Kilometer 6.3 Lebuhraya Duke arah Jalan Duta, dekat sini, 1.05 pagi tadi.
Fairuz Nizam Husain, 35, meninggal dunia di tempat kejadian, isterinya, Nova Safitri Azhari,27, dan bayi mereka, Nur Firuza Annisa meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur Deputi Superintendan S Markandan berkata, kemalangan berlaku apabila Pajero dipandu Fairuz Nizam berada di lorong tengah sebelum dipercayai digesel dari sebelah kanan oleh sebuah Myvi menyebabkan Pajero itu terbabas ke sebelah kiri lalu dilanggar oleh sebuah lagi Myvi yang berada di lorong kiri.
“Akibatnya, Pajero itu berpusing beberapa kali. Pemandu dan semua penumpang tercampak di atas jalan raya.
“Pemandu Myvi di lorong kiri tidak cedera, manakala satu lagi pemandu Myvi cedera di mulut dan dirawat di HKL,” katanya.
Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1957.
Sementara itu, ibu saudara Allahyarham Nova Safitri, Hartati Hassan Basri berkata, ketika kejadian dua lagi anak perempuan Nova Safitri Nur Firuza Amira, 7, dan Nur Firuza Aqila, 4, berada di rumah mentuanya dan dia serta suami dalam perjalanan mengambil mereka di Taman Batu Muda, Batu Caves.
Katanya, jenazah tiga beranak itu akan dikebumikan selepas Solat Asar ini di Taman Batu Muda.
Tiada ulasan